Pages

Tuesday, March 9, 2010

KENALI SNIPER






UNTUK bergelar sniper atau penembak tempat, seseorang anggota 69 Komando itu perlu mahir menggunakan senjata terutama PM Accuracy International.

BILA berlaku situasi genting seperti penculikan dan penahanan tebusan, ia pasti memerlukan kepakaran dan kemahiran bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) apa pun jua bentuk penyelesaian, ia mestilah dilakukan dengan cepat dan pantas dan lebih penting nyawa tebusan perlulah selamat.

Sehubungan itu, pasukan 69 Komando telah diberi tanggungjawab berat terutama dalam melahirkan anggota sniper.

Melalui anggota sniper inilah, situasi seperti penahanan tebusan dalam diatasi dengan berkesan.

Dalam hal ini, peranan sniper sebagai penembak tepat amat penting bagi menyelesaikan sesuatu situasi.

Ketika keadaan genting inilah, seseorang sniper perlu memperlihatkan kebolehan sebenarnya kerana kesilapan yang kecil bakal mengundang padah pada nyawa tebusan.



Mungkin ramai tidak menyedari bahawa seseorang sniper itu sebenarnya bukan sahaja perlu mahir menembak secara tepat pada sasaran, malah setiap keputusan dan pergerakannya juga harus mengambil kira banyak faktor lain seperti keadaan sekeliling.

Ini kerana, tiupan angin yang kuat juga boleh menyebabkan tembakan yang dilepaskan tersasar.

Begitu juga halnya dengan pergerakan angin, sama ada ia datang dari arah hadapan atau belakang, mahupun dari kiri atau kanan.

Semua ini bakal menentukan arah peluru yang mungkin tersasar dari sasaran sebenar.

Bila berlaku situasi sedemikian, seseorang sniper itu perlu menjadikan keadaan sekeliling seperti baju yang disidai pada ampaian dan sebagainya sebagai penunjuk keadaan serta arah angin.

Di samping itu, seseorang sniper juga perlu berada dalam keadaan tenang dan sabar sebelum sesuatu tembakan itu dilepaskan.

Apa pun jua keadaannya, kejayaan seseorang sniper itu bergantung kepada kerjasama berpasukan dengan rakan-rakan setugas lain.

Bagi memantapkan kemahiran sebagai sniper, pasukan 69 Komando telah mengadakan latihan untuk para jurulatihnya di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Lebih 18 orang jurulatih pelbagai pangkat, menyertai latihan itu dengan menggunakan senjata jenis PM Accuracy International dan M16.

Latihan itu bertujuan memahirkan setiap jurulatih dan ia diadakan dalam pelbagai situasi supaya setiap anggota dan pegawai benar-benar bersedia terutama apabila berhadapan dengan situasi sebenar.

Pegawai Latihan Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando, Asisten Supritendan Hakemal Hawari yang mengetuai latihan itu memberitahu, latihan tersebut diadakan berterusan bagi memahirkan setiap anggota dan pegawai.

Menurutnya, setiap anggota 60 Komando perlu mempamerkan disiplin yang tinggi dengan mematuhi arahan jurulatih sniper bagi menguasai kebolehan sebagai penembak tepat.

“Untuk bergelar seorang anggota sniper, disiplin yang tinggi amat penting. Kita tidak boleh silap langkah.

“Setiap arahan dan pergerakan harus dipatuhi dan diamati.

“Ini kerana operasi yang dijalankan melibatkan nyawa tebusan. Kita perlu mengutamakan nyawa tebusan dan orang awam,’’ katanya.

Menurut Hakemal, antara latihan diterapkan pada anggota sniper 69 Komando ialah jangan sekali-kali bongkak dengan kebolehan yang dimiliki.

Malah, mereka turut digalak supaya sentiasa merendah diri dan terus belajar bagi memahirkan diri.

Empat faktor utama perlu ada pada setiap anggota jika mahu menjadi bergelar sniper.

Pertama, seseorang itu perlu cergas dan sihat dari segi mental dan fizikal. Ini kerana, keadaan tersebut memerlukan anggota berkenaan sentiasa bersedia pada bila-bila masa termasuk dalam membuat sesuatu keputusan genting.

Faktor kedua ialah seseorang sniper itu pada asal atau semula jadinya adalah seorang penembak yang baik.

Ini diikuti seseorang sniper itu hendaklah seorang penyabar dan tenang walaupun berada dalam situasi tertekan atau terdesak.

Faktor seterusnya, seseorang sniper juga adalah seorang yang pintar. Ini termasuk dalam membuat keputusan kerana situasi yang dihadapi sentiasa berubah.

Kesilapan membuat keputusan, bukan sahaja bakal menggagalkan operasi menyelamat, malah boleh menyebabkan nyawa tebusan melayang.

Hakemal memberitahu, selain mahir menembak secara tepat, seseorang sniper turut dilatih membuka dan memasang senjata.

“Seseorang sniper perlu tahu mengenai senjata yang diguna. Buka hanya tahu menembak. Dia perlu tahu kelebihan dan kekurangan yang ada pada senjata itu apabila berada dalam situasi tertentu.

“Semua pengetahuan ini termasuk kemahiran ilmu yang berada di sekeliling seperti keadaan angin dan sebagainya perlu ada pada diri anggota sniper,’’ katanya.

Selain itu, para jurulatih 69 Komando itu turut dilatih cara-cara `stalking’ iaitu menghendap dan menyusup.

Latihan stalking amat penting kerana ia melibatkan pergerakan anggota dari satu tempat ke tempat lain.

“Ketika stalking, seseorang sniper perlu memastikan dia tidak dilihat oleh musuh sama ada secara mata kasar atau ketika musuh menggunakan teropong.

“Latihan stalking ini penting bagi membolehkan seseorang sniper menghampiri kawasan musuh sebelum tembakan boleh dilepaskan,’’ katanya.

Ketika latihan di Langkawi itu, para jurulatih tersebut akan diarah berpatah balik ke posisi asal jika pergerakan mereka dikesan oleh jurulatih sniper.

“Dalam hal ini, mereka perlu memastikan pergerakan yang dibuat harus secara senyap dan tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun,’’ katanya.

Mengenai senjata PM Accuracy International buatan Britain yang diguna dalam latihan itu, Hakemal berkata, senjata itu mempunyai ketepatan walaupun pada jarak 1,000 ela.

0 comments:

Post a Comment